AGENDANASIONAL

Bekas ahli Parlimen Langkawi meninggal dunia di Jerman

ALOR SETAR, 28 NOV: Ketua Umno Bahagian Langkawi Datuk Nawawi Ahmad, 61, yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi meninggal dunia awal pagi tadi di Frankfurt, Jerman.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Langkawi Nor Saidi Nanyan ketika dihubungi hari ini berkata Allahyarham berada di Jerman atas urusan kerja sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Isterinya, Datin Shabariah Md Hassan turut berada di sana. Ketika ini saya difahamkan anak Allahyarham juga sedang dalam perjalanan ke Jerman bagi menguruskan jenazah bapanya.

“Saya sempat menghubungi isterinya dan dimaklumkan jenazah kemungkinan akan dikebumikan di sana tetapi masih belum dimuktamadkan lagi,” katanya.

Nawawi yang menjadi Ahli Parlimen Langkawi mulai 2013 hingga 2018 berpengalaman luas dalam bidang politik dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah antara 2004 hingga 2013.

Bagaimanapun Allahyarham tewas kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanding atas tiket PKR di Parlimen Langkawi pada pilihan raya umum ke-14.

– BERNAMA


Pengarang :