Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan pembentangan Belanjawan Selangor 2023 di Bangunan SUK pada 25 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belanjawan 2023: Selangor peruntuk RM2.45 bilion, tumpu lima teras

SHAH ALAM, 25 NOV: Kerajaan Selangor memperuntuk RM2.45 bilion dalam Belanjawan 2023 sebagai persediaan mendepani kelembapan ekonomi tahun depan.

Membentang dokumen tersebut hari ini, Dato’ Menteri Besar berkata keseluruhan jumlah tersebut
tinggi sedikit berbanding tahun lalu iaitu RM2.34 bilion.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan sebanyak RM1.25 bilion atau 51 peratus diperuntuk bagi perbelanjaan mengurus dan 1.2 bilion lagi untuk pembangunan.

“Bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2 bilion.

“Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2023 adalah premium tanah sebanyak RM753.72 juta bersamaan 38 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan,” katanya di Dewan Negeri Selangor.

Beliau berkata defisit RM450 juta juga dicatatkan tahun ini selepas mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM2 bilion dan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.45 bilion.

Menurut Amirudin, defisit itu lebih tinggi berbanding tahun lalu bagi persediaan pengurusan bencana akibat perubahan iklim dan peruntukan pembangunan substantif untuk pembangunan negeri.

“Walaupun melaksana belanjawan defisit sejak lima belanjawan lalu, Kerajaan Negeri sentiasa berjaya mengurangkan jumlah defisit kepada satu jumlah yang munasabah menerusi instrumen kawalan perbelanjaan serta amalan prinsip tadbir urus kewangan yang baik,” jelasnya.

Bertema #KitaSelangor: Melonjak Kemajuan, Mengerat Perpaduan, Menjayakan Harapan, belanjawan tahun depan menggariskan lima teras utama iaitu:

-Mengukuhkan pertumbuhan ekonomi
-Membudaya perpaduan dan masyarakat penyayang
-Pendidikan dan pembangunan generasi masa depan
-Kehidupan lestari dan sejahtera
-Tadbir urus cekap dan bertanggungjawab


Pengarang :