Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berucap ketika bengkel pelan strategik operasi bantuan bencana sebagai persiapan menghadapi monsun Timur Laut 2022 di Dewan Serbaguna MBSJ, USJ 7, Subang Jaya pada 5 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBT SELANGOR

Belanjawan Selangor: MBSJ harap ada dana khas rancak program, mahu perkasa peniaga kecil

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SUBANG JAYA, 24 NOV: Belanjawan Selangor 2023 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar petang esok diharap memberi berita baik kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berharap Kerajaan Negeri menyalurkan dana untuk merancakkan lagi program PBT terutama melibatkan peniaga kecil.

“Bantuan Kerajaan Negeri kepada usahawan mikro akan membantu menambah baik perniagaan mereka sekali gus mereka menyumbang (kepada PBT) dari segi lesen dan permit niaga,” katanya.

Datuk Bandar Subang Jaya Datuk Johary Anuar  (tengah) pada Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah MBSJ 2022-2026 di Sunway Resort pada 24 November 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Ditemui selepas melancarkan Pelan Anti Rasuah MBSJ di sini hari ini, beliau juga berharap Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan kewangan kepada penjawat awam.

Menurutnya, bantuan berkenaan akan meningkatkan motivasi kakitangan untuk terus berkhidmat dengan cemerlang selain membantu mereka berdepan situasi ekonomi tidak menentu.

Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membentangkan Belanjawan Selangor 2023 dalam sidang Dewan Negeri Selangor petang esok.

Ia antara lain akan menumpukan strategi mendepani gelombang kemelesetan ekonomi selain aspek membabitkan golongan muda, wanita dan kegiatan ekonomi turut diberi perhatian.


Pengarang :