Penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) melaungkan slogan ‘Kita Boleh’ ketika Jelajah Mega Harapan Selangor di Dewan Serbaguna AU2, Ampang Jaya pada 16 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belia suka kejayaan HARAPAN jaga Selangor, jadi panduan pilih kerajaan

AMPANG JAYA, 17 NOV: Beberapa pengundi muda yakin Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu mentadbir negara dengan baik berdasarkan kemampuan gabungan itu menjaga kebajikan rakyat di Selangor.

Pekerja sendiri Muhammad Amir Hisyam, 26, berkata kejayaan Selangor antaranya memperkenal bantuan RM300 sebulan kepada keluarga memerlukan dan jualan murah barangan asas.

Muhammad Amir Hisyam

“Saya boleh kata mereka lulus ujian di Selangor untuk mentadbir pula peringkat persekutuan. Ini jadi panduan kepada orang muda parti mana hendak dipilih 19 November nanti.

“Orang muda juga yakin melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, beliau pemimpin baik dan selalu fikir hal rakyat,” kata pengundi Parlimen Gombak itu di sini semalam.

Pelajar Elijah Ling Zhao Zhong, 19, tidak sabar menunaikan tanggungjawabnya Sabtu ini untuk memilih kerajaan cekap bagi membentuk masa depan negara yang lebih baik.

“Kita dapat tengok bagaimana kucar-kacir pentadbiran Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, masing-masing bersaing antara satu sama lain.

“HARAPAN kini lebih kukuh hubungannya dan saya berpendapat ia patut diberi peluang mentadbir dalam tempoh lima tahun,” katanya yang akan pulang ke kampung halamannya di Sibu, Sarawak.

Ricky Minaiky Rahmadi

Bagi pengundi di Parlimen Gombak, Ricky Minaiky Rahmadi, 30, HARAPAN menyediakan banyak tawaran menarik yang dapat dirasai terus oleh rakyat.

“Saya menyeru anak muda lain turun mengundi beramai-ramai untuk memberi perubahan lebih baik buat negara,” kata pekerja swasta itu.

HARAPAN mengumumkan 39 tema menarik untuk pengundi jika diberi mandat mentadbir negara selepas memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Tumpuan meliputi memperkenal Akta Penggal Tetap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), biasiswa pendidikan untuk pelajar berpendapatan rendah dan elaun khas buat individu hilang kerja.

Butiran lanjut azam gabungan tersebut boleh diakses menerusi pautan https://kitaboleh.my/


Pengarang :