Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sungai Besar Saipolyazan M Yusop ketika berkempen di Parit 2, Sungai Panjang, Sabak Bernam pada 11 November 2022. Foto DANISH HAQEEM
AGENDANASIONAL

Bina sekolah asrama penuh, kolej antara 10 tawaran HARAPAN Sungai Besar

SUNGAI BESAR, 14 NOV: Membina sekolah berasrama penuh dan kolej persediaan untuk lepasan sekolah agama ke universiti Islam tempatan dan luar negara antara 10 tawaran HARAPAN Sungai Besar pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Calon Parlimen Sungai Besar Saipolyazan M Yusop berkata hasil petani juga ditingkatkan dengan mempelbagaikan jenis tanaman, penggunaan teknologi moden serta mewujudkan pusat sehenti untuk pemasaran.

“Ekonomi wanita juga diberi perhatian dengan mewujudkan peluang pekerjaan, latihan keusahawanan, meningkatkan akses kepada pendidikan dan kewangan.

“Kita akan beri latihan supaya dapat memajukan produk mereka dengan pengikut piawaian ditetapkan supaya produk Sungai Besar dapat dipasarkan bukan sahaja dalam negara malah eksport ke luar negara,” katanya kepada Selangorkini.

Selain itu, aplikasi Prihatin Sungai Besar turut diwujudkan bagi membolehkan masyarakat Sungai Besar memantau prestasi pemimpin antaranya ahli parlimen, ahli dewan negeri, ketua kampung serta agensi kerajaan.

Berikut 10 Tawaran HARAPAN Sungai Besar yang diumumkan Saipolyazan:

  • Membangunkan dan memaksimakan potensi sektor agropelancongan dan ekopelancongan
  • Menambah komoditi bernilai tinggi dan meningkatkan tahap produktiviti pertanian berasaskan teknologi tinggi
  • Mewujudkan jawatankuasa pemantau bersama agensi berkaitan untuk pematuhan peraturan zon perikanan
  • Mempertingkatkan ekonomi tempatan dengan membangunkan pertumbuhan rantaian industri serta mencipta peluang pekerjaan dan pasaran.
  • Membangunkan infrastruktur dan kemudahan awam untuk keselesaan awam
  • Pemerkasaan ekonomi wanita daripada kesenjangan ekonomi
  • Melaksanakan program latihan, kemahiran semula dan peningkatan kemahiran belia tempatan
  • Menyediakan sistem pengurusan khidmat rakyat Sungai Besar dengan mewujudkan aplikasi ‘Prihatin Sungai Besar’
  • Berusaha mewujudkan sekolah berasrama penuh dan kolej persediaan untuk lepasan sekolah agama ke universiti berkaitan dan sekolah berasrama penuh
  • Membangunkan, membaik pulih dan mengekalkan kelestarian pusat rekreasi untuk sukan

Pengarang :