Bintang Gombak muncul juara Liga Junior FAS Westports 2022 Bawah 17 selepas menewaskan MBSA 1-0 dalam aksi akhir di Padang Pusat Latihan FAS pada 30 Oktober. Foto Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

Bintang Gombak juara Liga Junior FAS Westports

SHAH ALAM, 1 NOV: Bintang Gombak muncul juara Liga Junior FAS Westports 2022 Bawah 17 (B-17) selepas menewaskan MBSA 1-0 dalam perlawanan akhir di Padang Pusat Latihan FAS di sini pada 30 Oktober.

Jaringan tunggal Nazrul Nazri tiga minit sebelum perlawanan tamat memisahkan kedudukan kedua-dua pasukan sekali gus muncul juara kategori B-17.

Ballhunter FC mengungguli kategori B-15 selepas menewaskan Genpro 3-0. Sebelum itu, Ballhunter FC turut menang dalam penentuan sepakan penalti 3-1 di peringkat separuh akhir menentang MBSA.

Young Guns turut cemerlang menerusi pasukan B-8 dan B-12 apabila menang dua perlawanan akhir.

Menjaringkan 71 gol sepanjang kejohanan, Young Guns B-8 menumpaskan PKNS 7-3 dalam saingan akhir sementara B-12 pasukan itu menundukkan MBSA 1-0 hasil jaringan tunggal Ammar Husain.

Bagi kategori B-10, KB Juniors Bangi (KBJB) selaku naib juara kumpulan C dinobat juara menewaskan MBSA 3-0.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menyampaikan anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Junior FAS Westports 2022 kategori B-17 kepada penjaga gol Bintang Gombak Amiman Zikri. Foto Persatuan Bolasepak Selangor

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor berkenan mencemar duli menyaksikan perlawanan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

 


Pengarang :