Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Pelancaran Tawaran HARAPAN di Hotel Wyndham Acmar Klang pada 2 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

BN, PN tidak mampu sedia manifesto lebih baik, terpalit rasuah dan salah guna kuasa

KLANG, 2 NOV: Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN) tidak mampu menyediakan manifesto lebih baik berbanding Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana terpalit isu rasuah dan salah guna kuasa.

Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pentadbiran BN sebelum ini lebih banyak menganggu fikiran rakyat dengan isu ketirisan dan pengelolaan pentadbiran yang tidak baik.

“Saya tidak fikir UMNO dan BN boleh kemuka cadangan untuk pertahan prinsip tatakelola yang baik sebab terlalu terpalit dengan isu rasuah dalam kalangan mereka.

“PN pula gagal sepanjang pemerintahannya menghadapi Covid-19 termasuk melaksana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling lama, juga mencatat kematian tinggi.

“Isu vaksin, perubatan malah perolehan yang tak telus masih tak dijawab sampai hari ini di parlimen. Ini menunjukkan ketidakupayaan kedua dua parti beri pilihan yang mampu meyakinkan rakyat,” katanya pada majlis pelancaran Tawaran HARAPAN di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata manifesto adalah usaha menterjemah idea dan merangka kerangka besar iaitu perubahan yang didambakan rakyat namun tonggaknya perlu seiring dengan tatakelola baik.

“Manifesto, satu dokumen yang tidak mungkin dapat dilaksana tanpa pemerintahan yang tunduk kepada rukun hukum yang baik.

“Untuk selamatkan negara dari kemelut politik tak berkesudahan, saya merayu agar rakyat memberi kesempatan sebaiknya supaya HARAPAN punyai majoriti jelas dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” katanya.

HARAPAN hari ini mengumumkan 39 tema menarik untuk pengundi jika diberi mandat mentadbir negara selepas memenangi PRU15.

Tumpuan meliputi memperkenal Akta Penggal Tetap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), biasiswa pendidikan untuk pelajar berpendapatan rendah dan elaun khas buat individu hilang kerja.

Butiran lanjut azam gabungan tersebut boleh diakses menerusi pautan https://kitaboleh.my/.


Pengarang :