Keadaan kawasan kuarters kerajaan Presint 11 A, Putrajaya yang dilanda banjir kilat kelihatan tenang selepas banjir surut semasa tinjauan pada 13 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bomba: Saliran tersumbat punca banjir kilat di Putrajaya

PUTRAJAYA, 13 NOV: Hujan lebat berterusan selama satu jam petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dilanda banjir kilat.

Dalam kejadian 3 petang itu, kawasan di Persiaran Seri Perdana di Presint 10, kuarters kerajaan Presint 11 A dan Klinik Kesihatan Presint 9 ditenggelami air kira-kira 0.3 meter.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya Mohd Afizi Zolkifli berkata seramai 20 anggota digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 4.30 petang.

Beliau berkata kejadian disyaki berpunca akibat laluan air ke longkang yang tersumbat dan anggota bomba telah membersihkan saluran terbabit.

“Air surut sepenuhnya beberapa jam kemudian dan tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz mengesahkan kejadian dan memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Air surut sepenuhnya selepas pihak bomba membersihkan longkang yang tersumbat. Tiada kenderaan rosak akibat kejadian itu,” katanya.

Mahathir Hasnan, 28, yang tinggal di kuarters Presint 11 A berkata kejadian terbabit pertama kali berlaku sejak beliau tinggal di situ pada 2014.

“Memang saya agak panik sebab air naik tiba-tiba… saya dan ahli keluarga lain buat keputusan alihkan barang elektrik ke tingkat atas.

“Kami juga alih kereta ke tempat tinggi… memang waktu itu hujan amat lebat,” katanya yang ditemui di rumahnya malam ini.

Insiden banjir kilat itu turut menarik perhatian calon-calon yang bertanding di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 antaranya Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (Pakatan Harapan) yang menyantuni penduduk malam ini. – BERNAMA


Pengarang :