Pemain Selangor FC Brendan Gan meraikan jaringan dalam perlawanan menentang Sarawak United di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 19 Jun 2022. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Brendan, Faisal bentuk gandingan empat kapten Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Tonggak utama Selangor FC Brendan Gan dan pemain sayap Terengganu FC Mohd Faisal Halim dilantik selaku kapten skuad Harimau Malaya bagi mengharungi saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan memaklumkan kejutan itu dibuat oleh ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon, sekali gus menyaksikan mereka akan bersama-sama Dion Cools serta Safawi Rasid bagi membentuk gandingan empat kapten Harimau Malaya.

“Dion dan Safawi sebelum ini bersama pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Syafiq Ahmad merupakan tiga kapten Harimau Malaya ketika kempen 48th King’s Cup 2022 di Chiang Mai, Thailand, September lepas.

“Tetapi dengan ketiadaan Syafiq bagi kem latihan pusat kali ini, Brendan dan Mohd Faisal telah dinamakan sebagai pengganti,” menurut kenyataan itu.

Syafiq sebelum ini adalah antara 11 pemain JDT yang tidak dapat menyertai kem latihan negara atas alasan urusan peribadi, komitmen keluarga dan masalah kecederaan.

Malaysia akan menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 Dis ini dan berdepan Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras pada 14 Dis sebelum memulakan cabaran pada saingan Piala AFF dari 20 Dis hingga 16 Jan tahun depan.

– BERNAMA


Pengarang :