AGENDA NASIONAL

Bursa Malaysia ditutup tinggi susulan situasi politik reda, indeks utama naik 4.04 peratus

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada paras tertinggi tiga bulan dengan indeks utama meningkat sebanyak 4.04 peratus berikutan sentimen pasaran menaik berikutan situasi politik tempatan mereda serta perkembangan luaran yang positif yang mendorong minat risiko pelabur.

Pada 5 petang ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 58.38 mata kepada 1,501.88 berbanding 1,443.50 pada Rabu.

Indeks utama itu dibuka tinggi 7.18 mata kepada 1,450.68 yang juga paras terendah harian, bergerak dalam momentum menaik sepanjang hari dan mencat paras tertinggi sebanyak 1,502.11 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 981 berbanding 197 manakala 256 kaunter lain tidak berubah, 899 tidak diniagakan dan 84 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan melonjak kepada 6.87 bilion unit bernilai RM4.19 bilion berbanding 2.68 bilion unit bernilai RM1.63 bilion pada Rabu.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Pelantikan itu dimuktamadkan selepas Seri Paduka menimbang pandangan Raja-Raja Melayu yang mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Istana Negara pada pukul 5 petang selepas ketidaktentuan politik selama lima hari sejak Pilihan Raya Umum ke-15 yang diadakan pada Sabtu lepas, 19 November 2022.

Profesor dan Pakar Ekonomi Malaysia University of Science and Technology Dr Geoffrey Williams berkata perkembangan positif itu sangat dialu-alukan kerana ia menyelesaikan ketidaktentuan dan menstabilkan pasaran.

Beliau yakin Anwar yang terkenal di peringkat antarabangsa dengan pengetahuan ekonomi luas akan menumpukan pada pembaharuan yang akan menarik pelabur.

“Selepas ini, kita akan mencari dasar ekonomi jangka panjang yang boleh dipercayai, ia akan disediakan oleh Anwar dan pasukannya. Cabaran beliau adalah untuk merangka bajet yang boleh dipercayai dengan tumpuan terhadap melindungi pertumbuhan untuk tahun depan dan mengekalkan inflasi yang rendah,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pelantikan Anwar seharusnya memberikan dorongan yang amat diperlukan kepada pasaran ekuiti.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan meningkat dalam julat 1,500-1,530 menjelang hujung minggu.

“Selepas melebihi paras rintangan masing-masing sebanyak 1,470 dan 1,500, indeks penanda aras dijangka meningkat ke arah paras 1,530-1,550 dalam tempoh terdekat,” katanya.

Daripada segi luaran, beliau berkata indeks serantau utama ditutup lebih tinggi apabila pelabur menyambut baik berita positif daripada mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada November, di mana para pegawai bersetuju bahawa kadar kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan mungkin akan dilaksanakan pada masa terdekat.

Selain itu, harapan terhadap rangsangan ekonomi baharu dari China juga telah meningkatkan sentimen pelabur, katanya.

Keyakinan tersebut telah membawa kepada pembelian saham dalam beberapa saham perbankan – Public Bank melonjak 24 sen kepada RM4.52, CIMB melonjak 36 sen kepada RM5.87, Maybank naik 21 sen kepada RM8.76, RHB Bank menokok 20 sen kepada RM5.67 dan Hong Leong Bank meningkat 22 sen kepada RM20.70

Bagi saham-saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals menokok 28 sen kepada RM9.06, IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM6.00, Tenaga meningkat 49 sen kepada RM8.91 manakala Press Metal menokok lima sen kepada RM4.88.

Untuk saham aktif pula, Advance Synergy naik 8.5 sen kepada 26 sen, Malayan United Industries naik dua sen kepada 12 sen, CSH naik setengah sen kepada empat sen, manakala Eden susut 4.5 sen kepada 14.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM EMAS melonjak 402.35 mata kepada 10,668.57, Indeks FBMT 100 meningkat 395.39 mata kepada 10,392.82, Indeks FBM EMAS Shariah melonjak 388.1 mata kepada 10,804.83 manakala FBM ACE bertambah 236.49 mata kepada 5,210.22.

Dari segi sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 598.67 mata kepada 16,766.88, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 5.15 mata kepada 185.01, Indeks Tenaga bertambah 20.23 mata kepada 764.09 manakala Indeks Perladangan susut 22.63 mata kepada 06.845.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama melonjak kepada 5.59 bilion saham bernilai RM3.89 bilion daripada 1.84 bilion saham bernilai RM1.33 bilion pada Rabu.

Waran pula mencatat peningkatan perolehan kepada 414.63 juta unit bernilai RM47.23 juta daripada 259.02 juta unit bernilai RM48.58 juta, semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 857.64 juta saham bernilai RM257.95 juta daripada 583.73 juta saham bernilai RM252.22 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 2.92 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (841.48 juta), pembinaan (138.36 juta), teknologi (359.71 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (180.95 juta), hartanah (385.72 juta), perladangan (37.46 juta), REIT (6.18 juta), dana tertutup (14,000), tenaga (281.94 juta), penjagaan kesihatan (149.29 juta), telekomunikasi dan media (59.12 juta), pengangkutan dan logistik (93.67 juta) serta utiliti (141.44 juta). – BERNAMA

 


Pengarang :