Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kuala Langat Manivanan Gowin (dua dari kanan) pada program ziarah prihatin di Taman Seri Bayu dan Kampung Tali Air, Morib hari ini. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon ambil inisiatif terang pada anak muda kepentingan mengundi

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KUALA LANGAT, 13 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kuala Langat mengambil inisiatif menerangkan kepada pengundi muda kepentingan keluar mengundi pada pilihan raya.

Manivanan Gowin berkata dalam setiap kempennya beliau akan menyelitkan perkara itu bagi memastikan golongan berkenaan sedar bahawa mereka berada di posisi menyelamatkan negara.

“Mereka memikul tanggungjawab untuk membawa kegemilangan kembali kepada negara. Malaysia ini kepunyaan semua tetapi negara ini dibina untuk anak-anak muda masa depan.

“Tidak samapi 10 atau 20 tahun lagi mereka pula yang akan memimpin,” katanya selepas program ziarah prihatin di Taman Seri Bayu dan Kampung Tali Air semalam.

Menurut statistik terbaru Pejabat Pilihan Raya Selangor, pemilih layak mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di negeri ini seramai 3,677,848 berbanding 2,415,074 pada pilihan raya umum sebelum ini.

Pengundi dewasa berusia 21-59 tahun adalah pemilih tertinggi iaitu 2,805,596 orang atau 76.29 peratus, warga emas berumur 60 tahun ke atas (598,549) manakala belia dari 18 hingga 20 tahun pula kira-kira 273,703 pengundi atau 7.44 peratus.


Pengarang :