Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Ampang Rodziah Ismail bersama penyokong selepas pengumuman calon kawasan berkenaan di hadapan pusat penamaan calon bagi PRU-15 di Dewan Dato Ahmad Razali, Ampang pada 5 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon Ampang gesa tolak wakil rakyat khianati mandat pengundi

AMPANG, 5 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Ampang menggesa pengundi supaya menolak pemimpin yang mengkhianati mandat rakyat.

Rodziah Ismail menjelaskan mana-mana wakil rakyat yang tidak mengendahkan amanah pengundi dalam pilihan raya umum 2018 tidak harus dikekalkan.

“Inilah masanya pengundi mengambil tanggungjawab untuk tolak mereka yang khianati amanah. Jadi, siapa juga (calon) tidak kira penyandang tiga penggal atau menteri, pengkhianatan tiada tempat di sini,” katanya.

Beliau dipercayai merujuk penyandang Datuk Zuraida Kamarudin yang menang atas tiket HARAPAN pada 2018 tetapi kini mempertahan kerusi tersebut sebagai calon Parti Bangsa Malaysia.

Rodziah yang juga EXCO negeri ditemui selepas penyerahan borang pencalonan di Dewan Dato Ahmad Razali di sini dengan ditemani pencadang Syed Ahmad Syed Abdul Rahman dan penyokong Datuk Gerald Hans Isaac.

Dalam saingan sembilan penjuru, calon lain ialah Ivone Low Yi Wen (Barisan Nasional), Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang), Bryan Lai Wai Chong (Warisan) dan Sasha Lyna Abdul Latif (Perikatan Nasional).

Calon Bebas pula ialah M Raveendran, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos dan Tan Hua Meng.


Pengarang :