Calon MUDA bagi Parlimen Tanjong Karang Siti Rahayu Baharin beramah mesra bersama orang ramai ketika berkempen di sekitar Kampung Permatang dan Kampung Baru pada 8 November 2022. Foto Facebook Siti Rahayu Baharin
AGENDANASIONAL

Calon BN hadapi masalah, Noh tidak turun kempen

SHAH ALAM, 9 NOV: Barisan Nasional (BN) dijangka berdepan laluan sukar untuk mempertahan kerusi Parlimen Tanjong Karang yang dimenangi Tan Sri Noh Omar sejak 1995.

Datuk Habibah Mohd Yusof didakwa tidak mendapat sokongan sejak penamaan calon, malah dibiar berkempen bersama pasukannya tanpa bantuan penyandang, lapor Malaysiakini.

Bagaimanapun, Noh dilihat aktif berkempen di kawasan lain seperti Sungai Buloh dan Kuala Selangor meski digugurkan sebagai calon.

Ketua Cawangan Umno Raja Musa Yusof Saroji dalam ucapannya juga secara terbuka mempersoal pemilihan calon baharu yang dikatakan tidak mudah memenangi pilihan raya kali ini.

“Tempat yang menang diubah pula calon, jadi masalah kita saya lihat banyak. Kalau contoh di Tanjong Karang, sebenarnya kita boleh menang mudah dan menang banyak untuk BN.

“Tapi sekarang kenapa kita nak cari kerja susah untuk memenangkan Barisan Nasional,” soalnya.

Calon MUDA bagi Parlimen Tanjong Karang Siti Rahayu Baharin (baju putih) beramah mesra bersama orang ramai ketika berkempen di Pekan Pasir Penambang pada 8 November 2022. Foto Facebook Siti Rahayu Baharin

Habibah berdepan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Siti Rahayu Baharin dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Perikatan Nasional) dalam saingan lima penjuru,

Sementara itu, Siti Rahayu atau dikenali Cikgu Ayu mula giat bergerak di sekitar kawasan parlimen Tanjong Karang antaranya lawatan rumah ke rumah dan ramah mesra bersama peniaga.

Dalam temu bualnya bersama Bernama, beliau yang pertama kali bertanding yakin parti itu boleh menawan kerusi berkenaan melalui kempen secara beradab dan bersungguh-sungguh.

“BN mempunyai pengikut yang percaya kepada mereka, kepercayaan ini bukan sesuatu yang mudah untuk dibolak-balik, tetapi saya percaya dengan adab dan kesungguhan serta nilai yang saya hendak bawa ke Tanjong Karang ia boleh dilakukan,” katanya seperti dilaporkan.

Siti Rahayu turut menegaskan isu bukan calon tempatan tidak menghalang dirinya memberi khidmat cemerlang jika diberi mandat dalam pilihan raya umum ke-15.


Pengarang :