Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) memacak bendera menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Jalan Lapangan Terbang Subang, Shah Alam pada 7 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon cadang SPR wujudkan SOP pasang bendera ketika kempen

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 13 NOV: Tatacara operasi piawai (SOP) perlu diwujudkan sebagai panduan kepada parti politik untuk memasang bendera atau kain rentang ketika berkempen pilihan raya.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Hulu Selangor mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan garis panduan dengan mengambil kira aspek keselamatan, kebersihan dan pencemaran alam sekitar.

“Saya fikir untuk jangka masa panjang. Memang kita perlukan bendera dan kain rentang untuk tambah ‘umphh’ kempen pilihan raya, tapi bukan di merata-rata tempat hingga ancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Semua orang terutama jentera parti semangat berkobar-kobar, kita hargai perkara itu, tapi kita perlu buat dengan cara yang betul dan patuhi peraturan,” kata Dr Sathia Prakash Nadarajan.

Jelasnya, beliau pernah menegur jentera parti yang memasang bendera sehingga menghalang lalu lintas sekali gus membahayakan pengguna jalan raya.

Beliau juga menegaskan perkara itu perlu diberi perhatian segera sebelum isu sabotaj pihak lawan atau ‘perang’ bendera berterusan sehingga menjadi virus dalam masyarakat.

“Cukup-cukuplah kita lawan pasang bendera. Rakyat tak terpengaruh dengan bendera. Tak bermakna pasang banyak bendera kita akan menang di kawasan itu,” katanya lagi.


Pengarang :