Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Tanjong Karang Siti Rahayu Baharin beramah mesra dengan penduduk dan peniaga Pasar Pagi Kampung Tiram Buruk pada 6 November 2022. Foto Facebook Siti Rahayu Baharin
SELANGOR

Calon dengar rintihan peniaga terjejas ban pecah di Tanjong Karang

SHAH ALAM, 6 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Tanjong Karang mendengar keluh kesah peniaga Pasar Awam Tiram Setia, Hujong Permatang yang terjejas akibat ban pecah awal pagi tadi.

Menurut Siti Rahayu Baharin dari Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), keadaan itu menyebabkan banyak kedai tidak dapat beroperasi kerana pasar berkenaan dinaiki air.

Jelas beliau penduduk meminta masalah tersebut diselesaikan secepat mungkin selain mengharapkan luahan mereka diajukan kepada pihak berwajib.

“Pagi tadi kami ke Pasar Awam Tiram Setia, tapi ramai peniaga tidak boleh datang sebab pasar itu banjir.

“Walaupun dalam tempoh yang sekejap tetapi ia memberi kesan kepada penduduk, mereka tidak dapat berniaga,” katanya menerusi video TikTok.

Siti Rahayu yang berharap masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin berkata pihak berkuasa sudah pun ambil maklum dan cakna mengenai perkara tersebut.

Awal pagi tadi berlaku air pasang setinggi satu meter yang menyebabkan tujuh sekeluarga dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air susulan limpahan akibat ban pecah di sekitar Pekan Tanjong Karang.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata kesemua mangsa yang berusia dalam lingkungan empat hingga 70 tahun itu dipindahkan ke rumah jiran.

Pada pilihan raya umum ke-15, Siti Rahayu berdepan cabaran lima penjuru melawan Ketua Wanita Umno Datuk Habibah Mohd Yusof; Datuk Dr Zulkapferi Hanafi (Perikatan Nasional), pelakon Azlan Sani Zawawi atau Lando (Pejuang) dan Mohd Rosni Mastol (Bebas).


Pengarang :