Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Bangi Syahredzan Johan ketika berkempen di pasar pagi Kampung Baru Batu 11, Cheras pada 12 November 2022. Foto ALANG BENDAHARA/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon HARAPAN Bangi tawar khidmat guaman percuma, program kesihatan mental

Oleh Faizal Nazaruddin

SHAH ALAM, 13 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Bangi menawarkan perkhidmatan klinik guaman pencuma jika menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Syahredzan Johan berkata inisiatif tersebut antara inti pati terkandung dalam tiga teras utama yang disediakan kepada penduduk di Parlimen Bangi.

“Antara tiga teras utama, pertama adalah kehidupan sejahtera dengan penumpuan infrastruktur pendidikan, jaringan pengangkutan awam cekap, tambah baik perancangan pencegahan banjir dan taman riadah.

“Teras kedua adalah untuk masyarakat terjaga melibatkan klinik guaman percuma, program kesihatan mental serta perkhidmatan parlimen cekap,” katanya menerusi perkongsian video di Facebooknya.

Beliau berkata teras ketiga yang ditawarkan adalah membantu peniaga kecil dengan program latihan serta peluang pekerjaan dengan kerjasama institut pengajian tinggi dan industri.

“Selain itu kita akan membantu terokai ekosistem usahawan seperti digital dan membantu memulakan usahawan,” ujarnya.

Syahredzan Johan yang juga peguam berkata beliau akan memastikan perlaksanaan dan pembaharuan bersama HARAPAN dapat dijayakan jika terpilih sebagai ahli parlimen.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Bangi Syahredzan Johan ketika berkempen di pasar pagi Kampung Baru Batu 11, Cheras pada 12 November 2022. Foto ALANG BENDAHARA/SELANGORKINI

Pengarang :