Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Sepang Aiman Athirah Sabu beramah mesra bersama penduduk Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda dan Sungai Merab pada 10 November 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Calon HARAPAN cadang anjur sidang dengar aduan rakyat di Sepang

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SEPANG, 11 NOV: Penganjuran sidang rakyat dan anak muda antara tumpuan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Parlimen Sepang jika diberi mandat dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Calon bagi gabungan itu Aiman Athirah Sabu menjelaskan sidang berkenaan yang dicadang di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat dengan kekerapan tiga bulan sekali.

“Saya kira sidang rakyat dan anak muda ini penting sebab sepanjang perjalanan (kempen) saya enam hari ini, antara kesusahan rakyat itu adalah hendak lapor pada siapa masalah-masalah mereka.

“Hendak mengadu pada ketua kampung atau ahli majlis mungkin ada kekangan. Hendak cari Ahli Dewan Negeri mungkin ada yang susah jumpa, justeru penganjuran sidang ini sangat signifikan,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas sesi ramah mesra di Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda dan Sungai Merab semalam menambah isu rakyat perlu disantuni sepanjang masa, bukan hanya ketika pilihan raya.

“Jadi yang lebih baik kita tetapkan masanya bila rakyat boleh jumpa dan kita boleh mendengar masalah rakyat,” katanya lagi.

Aiman Athirah yang mempertahan kerusi dimenangi HARAPAN sejak 2013 dicabar bekas Menteri Pmbangunan Wanita Datuk Seri Rina Harun (Perikatan Nasional) dalam saingan lapan penjuru.

 


Pengarang :