Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berucap ketika Saturday Night Fest di Dataran Ecoworld Bandar Puncak Alam pada 13 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Calon HARAPAN dedah Zafrul tidak turunkan peruntukan kepada pembangkang

KUALA SELANGOR, 17 NOV: Penyandang kerusi Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mendedahkan menteri kewangan tidak menurunkan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang sepanjang 2020 dan 2021.

Justeru, bekas menteri kesihatan itu mempersoal matlamat pesaingnya Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz daripada Barisan Nasional (BN) untuk menjaga kebajikan penduduk di sini.

Dr Dzulkefly menjelaskan beliau hanya menerima peruntukan berjumlah RM200,000 pada 2018 ketika Pakatan Harapan (HARAPAN) masih mentadbir negara sebelum meningkat kepada RM2 juta pada tahun berikutnya.

“Tidak ada peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang. Siapa menteri kewangan ketika itu? Dialah calon BN sekarang. Mana Tengku Zafrul masa rakyat kibar bendera putih?

“Kalau benar prihatin, sebagai menteri kewangan, kena ambil inisiatif. Patut datang Kuala Selangor santuni rakyat tapi tidak ada. Ini tidak selari dengan dakwaan keprihatinannya,” kata calon HARAPAN itu pada sidang media hari ini.

Kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020 berikutan sebahagian ahli parlimen mengalih sokongan sebelum membentuk kerajaan baharu menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) dan BN.

Dr Dzulkefly menambah pihaknya tetap membantu penduduk dengan mengagih bakul makanan kepada keluarga terjejas sepanjang pandemik meski tiada peruntukan disediakan kerajaan persekutuan.

“Setiap keluarga positif (Covid-19) kita beri bakul makanan. Kita beri barangan basah, barang kering. Ubat, pelitup muka juga kita beri selain keperluan asas lain,” katanya.

Selain Tengku Zafrul, Dr Dzulkefly dicabar Mohd Noor Mohd Sahar dari PN dan Mohd Shaid Rosli (Pejuang).


Pengarang :