Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid beramah mesra dengan penduduk ketika berkempen pada 16 November 2022. Foto Facebook Abdullah Sani Abdul Hamid
AGENDANASIONAL

Calon HARAPAN: Kalau telur ayam susah hendak cari, bagaimana mahu pimpin negara?

Oleh Abdul Rahim Sabri

SHAH ALAM, 18 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Kapar mengingatkan rakyat agar memilih pemimpin bermaruah, berintegriti untuk mengetuai kerajaan yang jelas hala tujunya.

Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mahu rakyat memilih kerajaan yang ada ‘kemanusiaan’ demi memastikan inspirasi masa depan setiap rakyat khususnya generasi muda tercapai.

Beliau menegaskan pengundian pada esok hari adalah penentu masa depan rakyat dan arah tujuan masa depan negara yang ingin dibawa.

“Akhirnya, ke mana yang kita nak pergi? Adakah kita nak biarkan anak kita mati kelaparan? Bekerja di Indonesia? Ataupun nak anak kita berlubuk di Singapura?

“Maka inilah waktunya, kita nak selamatkan negara yang dituntut dalam Islam, dengan memilih pemimpin yang mempunyai maruah dan integriti yang tinggi.

“Waktu inilah kita nak lihat dan merancang untuk masa depan anak cucu kita,” kata pengerusi Biro Pekerja PKR ketika ditemuramah oleh Sinar Harian semalam.  .

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid beramah mesra dengan penduduk ketika berkempen pada 16 November 2022. Foto Facebook Abdullah Sani Abdul Hamid

Beliau khuatir jika kepemimpinan diserahkan kepada individu yang ‘tiada gabungan jaringan, iltizam, kekuatan fizikal atau integriti’, menyebabkan negara menjadi seperti Sri Lanka.

“Kalau telur ayam kita cari dalam pasaran pun susah, nak cari satu papan RM13 pun susah, mana mungkin nak mentadbir negara. Jadi kemimpinan seseorang mestilah diketengahkan,” katanya.

Justeru, Abdullah Sani merayu agar rakyat untuk memilih Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpengalaman mengurus ekonomi dan pendidikan untuk menerajui negara.

“Pulang (dan) undilah. Itu tanggungjawab yang tidak boleh dinafikan demi anak cucu kita,” kata beliau menjelang 24 jam pengundian pilihan raya umum ke-15.

“Renung mata anak cucu kita dan bicara dalam hati apakah kita telah melakukan persiapan untuk mereka hidup pada masa depan dengan penuh selesa demi untuk agama, bangsa dan negara”.

Beliau turut mengajak rakyat membayangkan negara yang dibentuk atas kekuatan semangat persaudaraan dan kepelbagaian budaya dan kaum di Malaysia jika Anwar mengetuai kerajaan.


Pengarang :