Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Kuala Langat Manivanan Gowin beramah mesra bersama orang ramai dan mengedarkan risalah kempen di Ayun Pisang Station, Teluk Datuk pada 16 November 2022. Foto Facebook Manivanan Gowin
AGENDANASIONAL

Calon HARAPAN Kuala Langat sedia kenderaan, galak penduduk keluar mengundi

KUALA LANGAT, 18 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kuala Langat menyediakan lebih 30 kenderaan sebagai galakan dan memudahkan penduduk keluar mengundi.

Manivanan Gowin berkata warga emas, orang kelainan upaya dan kurang berkemampuan antara golongan sasaran menerima manfaat berkenaan.

“Kawasan bandar mungkin tiada masalah sebab memang ada kenderaan tetapi di kampung atau pedalaman tempat mengundi jauh. Jadi kita ambil maklum dan bekalkan logistik untuk ambil dan hantar ke rumah.

“Kita akan pastikan penduduk juga dihantar pulang ke rumah kerana berdasarkan pengalaman sebagai Ahli Parlimen Kapar sebahagian mereka dibiarkan begitu sahaja,” katanya ditemui SelangorKini.

Manivanan berkata pihaknya turut dimaklumkan ada masyarakat setempat sedia menjadi sukarelawan untuk mengambil dan menghantar penduduk.

“Ada antara mereka berjumpa saya dan sukarela akan jaga kawasan tertentu untuk ambil penduduk. Ini yang kita raikan dan menyatukan satu sama lain biarpun berlainan agama dan bangsa.

“Tidak kira mereka undi siapa asalkan kita sediakan kemudahan logistik supaya mereka dapat jalankan tanggungjawab untuk keluar mengundi,” katanya.

Dalam pilihan raya kali ini, beliau melawan Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (Perikatan Nasional) dalam saingan enam penjuru.


Pengarang :