Calon HARAPAN Sepang, Aiman Athirah Sabu ketika tinjauan sekitar Kampung Seri Tanjung yang dinaiki air pada 17 November 2022. Foto Facebook Aiman Athirah Sabu
AGENDANASIONAL

Calon HARAPAN Sepang mahu laksana pelan kurangkan banjir

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SEPANG, 18 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Sepang tekad melaksanakan pelan mitigasi banjir di Parlimen itu sekiranya diberi mandat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Aiman Athirah Sabu berkata Kampung Seri Tanjung dan Kampung Cemperai, Dengkil yang terjejas bah memerlukan pelan penyelesaian jangka panjang berdasar kunjungannya ke daerah itu semalam.

“Saya berasa dukacita melihat kediaman beratus keluarga ditenggelami air dan mendengar luahan mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Taman Gemilang dan Dewan Komuniti Dengkil mengeluh kerana isu sama berulang seolah tiada penyelesaian,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau juga komited untuk memastikan kerja pembaikan tembok penahan banjir Sungai Langat yang diluluskan Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM19.1 juta tidak tertangguh.

“Keluasan banjaran baharu Sungai Langat perlu dipanjangkan kepada 4.6 meter daripada 1.5 meter ketika ini, khususnya di sepanjang Jalan KB1 berhampiran kawasan perumahan Taman Permata dan Taman Baiduri, Dengkil.

“Longkang juga mesti sentiasa dibersihkan khususnya pada musim hujan agar tidak tersumbat dengan rumpai, kotoran atau sampah sarap,” katanya.

Semalam, beberapa kawasan di daerah itu dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak malam kelmarin sehingga ban Sungai Langat pecah menyebabkan air melimpah ke kawasan penduduk.


Pengarang :