Calon Pakatan Harapan Parlimen Shah Alam Azli Yusof mendekati belia yang sedang bermain bola ketika berkempen di Seksyen 7, Shah Alam pada 9 November 2022. Foto ABDUL RAHIM SABRI/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon HARAPAN Shah Alam timang bola dekati belia, mahu perkasa ekonomi sampingan

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 10 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Shah Alam mempamerkan kemahirannya menimang bola ketika mendampingi belia di padang bola sintetik, Seksyen 7 di sini, semalam.

Azli Yusof mendapat sorakan sebelum memberi ucapan ringkas menyeru golongan muda memilih kerajaan yang “boleh pulihkan ekonomi, stabilkan negara, tidak khianat dan tak amal rasuah”.

“Pilihlah kerajaan yang bermaruah dan mampu memulihkan ekonomi. Semua itu ada pada HARAPAN, bawah kepimpinan dan wibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya yang meminati pasukan bola sepak Arsenal.

Ketua Parti Amanah Negara bahagian Shah Alam juga berikrar merancak kegiatan ekonomi gig (ekonomi samping) sekali gus membuka peluang kerja kepada anak muda.

 

Calon Pakatan Harapan Parlimen Shah Alam Azli Yusof bertemu pengunjung dan peniaga pasar malam Seksyen 7, Shah Alam pada 9 November 2022. Foto ABDUL RAHIM SABRI/SELANGORKINI

Beliau kemudiannya beredar dan meneruskan kempen serta mengedarkan risalah kepada peniaga dan pengunjung di pasar malam Seksyen 7.

Sebelum ini, Azli yang juga lulusan pengurusan kejuruteraan dari University of Missouri-Rolla berhasrat membangunkan semula rumah pangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di Seksyen 16.

Beliau turut tekad membawa usul supaya lebih banyak sekolah menengah dibina di Shah Alam bagi menampung kepadatan penduduk di kawasan itu.

Dalam pilihan raya kali ini, Azli bersaing dengan Hizatul Isham Abdul Jalil (Barisan Nasional), Dr Afif Bahardin (Perikatan Nasional) dan Muhammad Rafique Rashid (Pejuang).


Pengarang :