Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Saipolyazan Mat Yusop bersama penyokong selepas penamaan calon Parlimen Sungai Besar di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar pada 5 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon HARAPAN Sungai Besar mahu manfaat pengalaman ketuai LZS bantu asnaf

SUNGAI BESAR, 5 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Sungai Besar mahu menggunakan pengalaman membantu golongan asnaf ketika menerajui Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk berkhidmat kepada rakyat.

Saipolyazan Mat Yusop yang turut terlibat dalam membantu mangsa banjir besar pada Disember tahun lalu ketika menjadi ketua pegawai eksekutif LZS mahu memanfaat pengetahuannya.

“Semasa dalam LZS, tidak kira politik, kita bantu 65,000 keluarga di Selangor mengikut apa keperluan mereka. Saya selalu turun padang bersama khariah masjid dan ketua masyarakat untuk hulur bantuan.

“Ketika banjir besar, LZS antara agensi pertama turun membantu 50,000 keluarga terjejas,” katanya selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Seri Bernam di sini hari ini.

Saipolyazan juga mahu memastikan penduduk di situ tidak ketinggalan dari segi pembangunan kemudahan awam dan ekonomi selain memajukan sektor pertanian dan pelancongan.

Beliau bakal bersaing dengan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos dari Barisan Nasional dan Datuk Muslimin Yahaya dari Perikatan Nasional dalam pilihan raya umum ke-15.


Pengarang :