Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid ketika memantau perkembangan banjir bersama pimpinan KEADILAN Cabang Kapar pada 10 November 2022. Foto Facebook Abdullah Sani Abdul Hamid
AGENDANASIONAL

Calon HARAPAN tekad teruskan pembangunan demi manfaat penduduk Kapar

KLANG, 16 NOV: Calon Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) tekad meneruskan pembangunan Kapar jika sekali lagi diberi mandat pada pilihan raya umum ke-15.

Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata pelbagai kemajuan dibangun di kawasan itu sejak empat tahun lalu demi manfaat rakyat khususnya pembaikan jalan raya.

“Ini bukan masanya lagi sesi perkenalan dan saya akan menerangkan kejayaan demi kejayaan yang dibawa di Parlimen Kapar untuk lemparan terakhir berkempen sebelum pengundian.

“Banyak yang saya bawa ke Parlimen dan telah diambil perhatian kerajaan persekutuan antaranya 80 peratus jalan raya sudah di baiki, isu banjir dan pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang kini mencapai 60 peratus,” katanya.

Beliau ditemui ketika bertemu penduduk di Kampung Bukit Kerayong sebelum mengadakan walkabout di Kampung Sungai Sireh di sini hari ini.

Abdullah Sani menambah ada parti lawan yang mendakwa beliau tidak turun padang sejak menjadi ahli parlimen Kapar.

“Ada serangan daripada pihak lawan mengatakan saya tidak turun padang di media sosial, namun saya tepis dengan menunjukkan bukti saya bertemu penduduk dari Kampung Delek sehingga Kapar.

“Saya santuni penduduk bukan waktu berkempen sahaja tetapi sejak empat tahun lalu. Dakwaan tidak nampak muka saya hanya alasan semata-mata, jika berani saya ajak mereka berdebat tetapi mereka hanya mendiam diri sahaja,” katanya.


Pengarang :