Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Aiman Athirah Sabu (tengah) bersama Jentera Daerah Mengundi menunjukkan simbol empat ketika sesi ramah mesra Hit and Run di Kampung Tanjung Sepat, Sepang pada 16 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Calon HARAPAN terus bersemangat temui pengundi walau cedera terlibat kemalangan

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SEPANG, 16 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sepang tetap bersemangat meneruskan kempen menyantuni pengundi serta jentera daerah walaupun ditimpa kemalangan kecil ketika sesi ‘walkabout’, semalam.

Aiman Athirah Sabu mengalami bengkak kaki kiri selepas kakinya digilis tayar sebuah kereta di Pasar Malam Olak Lempit di sini.

“Laluan itu bukan untuk kenderaan tetapi ada peniaga terlambat dan dia terpaksa memandu masuk ke tapak niaga. Saya tahu pemandu itu tidak sengaja dan nampak panik bila terlanggar saya.

“Memang pada mulanya saya tidak boleh bangun tetapi cuba juga perlahan-lahan,” katanya ketika ditemui selepas sesi ramah mesra Hit and Run di Kampung Tanjung Sepat hari ini.

Menurutnya, beliau tidak pergi ke klinik berikutan keadaan kakinya tidak mengalami kecederaan teruk.

“Setakat ini masih belum ke klinik memandangkan saya ada sedikit pengetahuan mengenai rawatan kecemasan jadi tahu tidak retak atau patah dan boleh teruskan jadual kempen seperti biasa,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Aiman Athirah yang juga ketua wanita HARAPAN disaingi bekas Menteri Pembangunan Wanita Datuk Seri Rina Harun (Perikatan Nasional) dan Anuar Basiran (Barisan Nasional) dalam saingan lapan penjuru.


Pengarang :