Calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (tengah) meredah banjir untuk bertemu penduduk dan meninjau keadaan mereka yang terjejas di Taman Sentosa, Klang pada 10 November 2022. Foto Facebook Abdullah Sani Abdul Hamid
AGENDANASIONAL

Calon HARAPAN tinggalkan kempen, randuk bah lawat mangsa

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 11 Nov: Calon Pakatan Harapan Parlimen Kapar meranduk banjir untuk melawat mangsa di beberapa kawasan perumahan dan sekitarnya yang ditenggelami air petang semalam.

Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, yang sedang berkempen di Pulau Ketam, bergegas ke Taman Sentosa, Taman Ria dan Taman Alam Nyata bagi menyaksikan sendiri bencana itu.

“Ramai juga yang bertanya berkenaan bantuan, saya maklumkan semasa berkempen, calon dan parti tak boleh beri sebarang bantuan dan memang tidak dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Mujurlah Dewan Negeri Selangor masih belum dibubarkan dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru akan menggerakkan bantuan yang perlu,” tulis beliau di Facebooknya tengah malam tadi.

Calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (tengah) meredah banjir bagi meninjau keadaan penduduk yang terjejas di Taman Sentosa, Klang pada 10 November 2022. Foto Facebook Abdullah Sani Abdul Hamid

Dalam video yang disiarkan, Abdullah percaya bencana itu berlaku disebabkan parit yang tersumbat dan ban air di Baiduri melimpah ke kawasan sekitar Kapar.

Justeru, beliau memaklumkan kepada pegawai daerah berhubung situasi itu dan menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertindak segera mengurangkan kadar banjir.

“Ini tidak boleh dibiarkan. Sekarang ini musim hujan. Inilah akibatnya, apabila kita tidak mahu pilihan raya, nak tumpu masalah rakyat. Buktinya berlaku pada hari ini (semalam).

“Inilah yang didoakan oleh pemimpin Umno. Kita tidak boleh menerima hakikat derita rakyat tetapi selesanya pemimpin tertentu,” kata pemimpin Parti Keadilan Rakyat itu.

Beliau bersama Dato’ Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari turut melawat 32 mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai di Meru, tengah malam tadi.

Abdullah berdepan Dr Halimah Ali dari Perikatan Nasional, Dr Daroyah Alwi (Parti Bangsa Malaysia) dan Mohammad Noor Azman (Barisan Nasional dalam saingan tujuh penjuru di kerusi Parlimen Kapar.


Pengarang :