Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) meninjau lokasi banjir di Kampung Asahan pada 17 November 2022. Facebook Dr Dzulkefly Ahmad
AGENDANASIONAL

Calon HARAPAN tinjau kawasan terjejas banjir di Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 17 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meninjau situasi banjir di Kampung Asahan, dekat sini pagi tadi.

Beliau memaklumkan kira-kira 100 mangsa terjejas berikutan hujan lebat sejak malam tadi dan perlu dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) demi keselamatan.

“Saya berhubung dengan pegawai Angkatan Pertahanan Awam dan bomba berkenaan situasi semasa serta pelan tindakan menyelamat mangsa. Kita akan terus memantau keadaan dan pastikan langkah awal dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Muhammad Gemuk berkata hujan lebih 12 jam sejak 10 malam tadi menjejaskan lebih 50 rumah penduduk.

Berikutan itu, katanya, proses pemindahan mangsa ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Selangor dijalankan pihak berkuasa secara berperingkat.

“Air sudah masuk ke dalam rumah manakala paras air di laman hampir mencecah 0.5 meter,” katanya.

Hujan lebat berterusan hingga awal pagi tadi turut menyebabkan beberapa daerah di Selangor iaitu Shah Alam, Klang dan Sepang dinaiki air.

Semalam, Jabatan Meteorologi memberi amaran hujan lebat berlarutan sehingga 4 pagi di seluruh Perlis, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.


Pengarang :