Calon Muda bagi Parlimen Tanjong Karang Siti Rahayu Baharin (baju putih) beramah mesra bersama orang ramai ketika berkempen di Pekan Pasir Penambang pada 8 November 2022. Foto Facebook Siti Rahayu Baharin
AGENDANASIONAL

Calon MUDA tidak gentar tempur kubu kuat BN di Tanjong Karang

TANJONG KARANG, 8 NOV: Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA ) bagi Parlimen Tanjong Karang, Siti Rahayu Baharin tidak gentar bertanding di kubu kuat Barisan Nasional (BN) malah optimis kemenangan akan berpihak kepadanya 19 November nanti.

Siti Rahayu atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Rahayu mengakui bukan senang untuk Muda menawan Tanjong Karang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagaimanapun ia boleh dilakukan dengan kempen secara beradab dan bersungguh-sungguh.

“BN mempunyai pengikut yang percaya kepada mereka, kepercayaan ini bukan sesuatu yang mudah untuk dibolak-balik, tetapi saya percaya dengan adab dan kesungguhan serta nilai yang saya hendak bawa ke Tanjong Karang ia boleh dilakukan.

“Saya mahu pengundi di sini menilai saya dan memilih saya dengan apa yang saya hendak bawa ke Tanjong Karang,” katanya kepada pemberita selepas majlis Jelajah Mega Muda di sini malam tadi.

Mengulas mengenai isu bukan calon tempatan, Siti Rahayu berkata ia bukan penghalang untuknya memberikan khidmat cemerlang sekiranya mendapat mandat kelak malah ramai ahli Parlimen yang bukan penduduk tempatan mampu memberikan khidmat terbaik di kawasan diwakili.

Siti Rahayu berdepan dengan saingan lima penjuru melibatkan Azlan Sani Zawawi (Pejuang-Gagasan Bangsa), Kapt (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN), Datuk Habibah Mohd Yusof (BN) dan calon bebas Mohd Rosni Mastol.

Parlimen Tanjong Karang sebelum ini disandang Tan Sri Noh Omar selama enam penggal iaitu sejak 1995.

-BERNAMA


Pengarang :