Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Sepang Aiman Athirah Sabu bertemu orang ramai ketika menyertai program Rewang Sekampung di Dataran Batu Laut pada 11 November 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon tidak tergugat populariti pihak lawan, yakin rakyat bijak menilai

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SEPANG, 11 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sepang tidak tergugat dengan populariti pihak lawan bertaraf menteri untuk memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, Aiman Athirah Sabu yakin pengundi lebih bijak dan rasional menilai calon terbaik yang memahami isu rakyat untuk mewakili kawasan mereka.

“Mungkin ada kelebihan sedikit kepada mereka (yang pernah jadi menteri), namun ia bukan halangan. Saya tidak pandang ringan dan akan terus bekerja supaya rakyat lebih jelas mahu pilih siapa.

“Sebab kerajaan yang dulu adalah kerajaan yang gagal dan ia sudah dibuktikan. Kita perlukan anggota Kabinet dan pentadbiran yang lebih segar dan lebih prorakyat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyertai program Rewang Sekampung bersama penduduk Batu Laut dan Bagan Lalang di Dataran Batu Laut di sini hari ini.

Aiman Athirah disaingi bekas Menteri Pembangunan Wanita Datuk Seri Rina Harun (Perikatan Nasional) dan Anuar Basiran (Barisan Nasional) dalam saingan lapan penjuru.

 


Pengarang :