Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berbual bersama penduduk ketika meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat di Kampung Sungai Sembilang di Parlimen itu pada 8 November 2022. Foto ihsan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
AGENDANASIONAL

Calon tinjau jualan murah, puji usaha negeri ringan beban rakyat

KUALA SELANGOR, 8 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Kuala Selangor meninjau sendiri program jualan murah barangan asas di Kampung Sungai Sembilang di sini pagi tadi.

Kehadiran Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad disambut baik penduduk setempat yang berkongsi perkembangan semasa selain menyatakan sokongan kepada bekas menteri kesihatan itu.

Dr Dzulkefly yang mempertahan kerusi dimenangi pada 2018 turut membantu kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKPS) mengangkat barangan belian penduduk.

“Program ini membantu meringankan beban rakyat dan kita menyambut baik usaha Kerajaan Negeri yang meneruskan jualan murah ini sehingga Mac,” katanya ketika ditemui.

Pada Sabtu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Jelajah Ehsan Rakyat yang sepatutnya tamat Disember ini disambung hingga Mac tahun depan.

Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat bagi membantu lebih ramai penduduk negeri ini yang terkesan dengan kos kenaikan harga barang di pasaran.

Barangan asas dijual meliputi ayam (RM10 seekor), daging (RM10 per pek), telur (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

 


Pengarang :