Ketua jurulatih Selangor Tan Cheng Hoe meraikan gol bersama pemain selepas skuad Gergasi Merah itu meraih kemenangan besar 5-0 ke atas Melaka United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 1 Oktober 2022. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Cheng Hoe: Pamer prestasi terbaik, peluang tamatkan ‘kemarau’ tujuh tahun tanpa piala

PUTRAJAYA, 26 NOV: Pemain Selangor FC yang diturunkan dalam aksi akhir Piala Malaysia malam ini diingatkan supaya tidak gugup berdepan cabaran lawan bagi menamatkan kemarau tujuh tahun tanpa trofi kejuaraan.

Ketua jurulatih Tan Cheng Hoe mengakui Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terkenal dengan jolokan Southern Tigers memiliki barisan pemain kuat selain mampu memberi asakan berbahaya kepada anak buahnya.

“Sudah tentu bukan senang untuk menentang JDT esok malam (malam ini), namun saya percaya rata-rata pemain sudah bersedia dan akan menunjukkan prestasi yang baik.

“Diharap pemain khususnya (pemain) muda tidak berasa gemuruh di padang. Ini satu cabaran dan pengalaman terbaik buat mereka walaupun kita tahu JDT mempunyai pemain yang cukup merbahaya,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan insentif khas kepada pemain Selangor FC oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Hotel Marriott Putrajaya di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata beliau belum menentukan pemain utama yang akan diturunkan dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Kita belum putuskan lagi (kesebelasan utama). Bagaimanapun, barisan jurulatih akan pastikan pemain bebas daripada kecederaan selain tahap kecergasan pulih sepenuhnya,” katanya.

Bekas jurulatih skuad Harimau Malaya juga berharap pemain bersedia dengan lautan penyokong setia Merah Kuning yang menanti kejayaan Selangor FC.

“Paling penting pemain kena bersedia dengan apa jua situasi dan tekanan daripada penyokong yang membanjiri stadium. Pemain kena pandai mengadaptasi situasi tersebut untuk memberi satu persembahan terbaik,” katanya lagi.

Sementara itu, kapten pasukan Brendan Gan menjangkakan pertembungan menarik antara kedua-dua pasukan dengan masing-masing berpeluang mencipta kemenangan.

“Sememangnya ia tugas getir buat kami untuk menentang JDT yang mempunyai prestasi sangat baik, namun kami sentiasa sedia menerima tentangan lawan.

“Kami harap mampu memberikan ‘hadiah’ istimewa buat penyokong Selangor FC dengan membawa pulang trofi kemenangan,” katanya.

Selangor mara ke final selepas menyingkirkan Terengganu di separuh akhir menerusi kejayaan 3-2 secara agregat.

Kali terakhir pasukan Gergasi Merah meraih gelaran Piala Malaysia adalah pada 2015 yang merupakan gelaran ke-33.


Pengarang :