Pengundi muda Fatin Norfidiyana Rostam, 19, ketika mengundi bagi Dewan Undangan Negeri Larkin pada Pilihan Raya Negeri Johor di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan 1 Larkin, Johor Bahru pada 12 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cuepacs cadang cuti umum khas 18 November mudahkan rakyat balik undi

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan mengisytiharkan 18 November ini sebagai cuti umum khas untuk memudahkan pergerakan rakyat Malaysia ke lokasi mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata walaupun tarikh mengundi jatuh pada Sabtu, cuti umum tambahan sehari lebih awal itu wajar diberikan memandangkan ramai rakyat Malaysia tidak mengundi di lokasi mereka bekerja.

“Ada dalam kalangan mereka yang perlu melakukan perjalanan lebih daripada empat jam bagi menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

“Begitu juga dengan penduduk Labuan, Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung, jadual penerbangan terhad mungkin menyukarkan mereka pulang pada hari mengundi apatah lagi mereka yang tinggal di pedalaman memerlukan perjalanan tambahan serta memakan masa panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata walaupun setiap pekerja layak mengambil cuti tahunan, Cuepacs bimbang ada majikan tidak membenarkan mereka memohon cuti awal untuk pulang ke lokasi mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 November ini dan pengundian awal pada 15 November ini.

– BERNAMA


Pengarang :