PETALING, 17 NOV: Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh hanya bersumpah menafikan dirinya menggunakan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM500 bilion ketika pandemik Covid-19 dua tahun lalu.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu membabitkan negara, tatakelola dan pentadbiran perlu dijelaskan secara terperinci kepada rakyat.
“Hari ini Muhyiddin sumpah tak ambil duit kerajaan. Soal negara, soal tatakelola, pentadbiran…sumpah tak makan (duit).
“Kena siasat berapa harta kamu ada. Ini senang sikit-sikit semua sumpah. Mana boleh, kena jelaskan kepada rakyat,” katanya berucap dalam program Jelajah Selangor Parlimen Sungai Buloh semalam.
Terdahulu bekas perdana menteri yang juga pengerusi Perikatan Nasional bersumpah tidak menggunakan wang kerajaan walaupun satu sen ketika pentadbirannya.
Isu berkenaan timbul selepas Pengerusi HARAPAN Melaka Adly Zahari memaklumkan gabungan itu akan menjalankan siasatan terhadap Muhyiddin berhubung dakwaan membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik.