Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada sesi ramah mesra bersama penyokong calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan di Taman Subang Perdana pada 16 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dakwaan belanja RM500 bilion, Anwar desak Muhyiddin perinci kepada rakyat

PETALING, 17 NOV: Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh hanya bersumpah menafikan dirinya menggunakan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM500 bilion ketika pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu membabitkan negara, tatakelola dan pentadbiran perlu dijelaskan secara terperinci kepada rakyat.

“Hari ini Muhyiddin sumpah tak ambil duit kerajaan. Soal negara, soal tatakelola, pentadbiran…sumpah tak makan (duit).

“Kena siasat berapa harta kamu ada. Ini senang sikit-sikit semua sumpah. Mana boleh, kena jelaskan kepada rakyat,” katanya berucap dalam program Jelajah Selangor Parlimen Sungai Buloh semalam.

Terdahulu bekas perdana menteri yang juga pengerusi Perikatan Nasional bersumpah  tidak menggunakan wang kerajaan walaupun satu sen ketika pentadbirannya.

Isu berkenaan timbul selepas Pengerusi HARAPAN Melaka Adly Zahari memaklumkan gabungan itu akan menjalankan siasatan terhadap Muhyiddin berhubung dakwaan membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik.

 

Penyokong yang hadir pada program ramah mesra bersama Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon HARAPAN Sungai Buloh Datuk R Ramanan di Taman Subang Perdana pada 16 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :