Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau bekalan ayam di Sri Ternak, Gombak sekitar 4.30 pagi pada 6 November 2022. Foto RADEN WAZIR
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Dalam sibuk kempen, MB lawat pusat agihan 4 pagi atasi isu bekalan ayam

GOMBAK, 6 NOV: Dalam kesibukan kempen pilihan raya, Dato’ Seri Amirudin Shari sempat ke pusat agihan barangan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sekitar 4.30 pagi bagi memastikan bekalan ayam tidak menjejaskan pembeli.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Gombak itu ke sebuah pusat pengagihan ayam dan telur di Sri Ternak, di sini berikutan ada masalah berlaku pada bekalan ayam kerana ia dikhuatiri kurang segar.

“Saya minta henti dulu semalam. Sebab ayam tidak segar, nanti busuk. Saya tengok ada sedikit masalah. Saya turun sendiri pukul 4.30 pagi, sebab hendak tahu masalah selesai atau tidak?

“Tapi saya hendak beritahu Kerajaan Selangor sampai ke tahap itu (untuk bela rakyat) walaupun isu bahan makanan bukan tanggungjawab kita pun. Tetapi kita  buat untuk pastikan jaminan bekalan,” katanya.

Beliau yang juga Dato Menteri Besar ketika mengadakan ceramah kelompok di Taman Keramat di sini menjelaskan isu barangan termasuk bekalan ayam dan telur bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan.

Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyusun barangan jualan ketika Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 18 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Semalam, Amirudin mengumumkan jualan murah melalui JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang dijadual tamat pada Disember dilanjut hingga Mac tahun depan.

Menerusi program tersebut, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur (RM10 sepapan).

PKPS turut menawarkan ikan kembung atau selayang pada harga RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk menjayakan jualan murah di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda, Klang pada 14 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :