AGENDA NASIONAL SELANGOR

Dana RM1 juta perluas pengajian akademi al-Quran ke tiga daerah

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 26 NOV: Peruntukan RM1 juta disediakan bagi memperluas Program Pengajian Bersijil Akademi Literasi Al-Quran Selangor secara berperingkat pada tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin menjelaskan program itu bermula di Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sepang bagi memberi peluang kepada umat Islam khususnya di kawasan luar bandar menyertai program tersebut.

Beliau menambah dana berkenaan bagi menampung kos melantik tenaga pengajar, cetakan bahan pengajaran dan pembelajaran serta kos kemudahan lain.

“Program pengajian yang mempunyai empat peringkat kelas ini diharap mampu memberdaya pembacaan Al-Quran dalam kalangan umat Islam khususnya di Selangor,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023.

Amirudin berkata dana untuk menjayakan pelaksanaan program berkonsep satu daerah satu masjid di tiga daerah tersebut selain memperkasa program sedia ada di masjid negeri.

“Usaha memperluas program pengajian Al-Quran ke daerah di seluruh Selangor diharap mampu memberdaya pembacaan al-Quran di dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Beliau menambah Akademi Literasi Al-Quran Selangor yang dilancarkan Jabatan Agama Islam Selangor pada 9 Oktober 2022 bertujuan melahirkan umat yang mahir membaca, mengajar, mengamal dan memperseni al-Quran.

Katanya, akademi tersebut juga akan memberdaya pembinaan latihan al-Quran kepada imam masjid dan surau, guru al-Quran di sekolah, pemegang tauliah, hakim dan peserta tilawah dan hafazan al-Quran.


Pengarang :