Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua, kiri) diiringi ketua guru Sekolah Rendah Agama An Nasihin, Saodah Tuwa melihat pagar yang siap dibina sumbangan MBI di Kampung Sungai Kertas, Gombak pada 24 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Dana RM1 juta untuk kerja awal naik taraf, bina sekolah agama

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 25 NOV: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM1 juta bagi menaik taraf sekolah rendah agama (SRA) di negeri ini seterusnya memberi lebih keselesaan kepada murid.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana RM500,000 disediakan bagi membuat kerja awal menaik taraf Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 Shah Alam membabitkan kos RM2.5 juta.

Beliau dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini juga menjelaskan Kerajaan Negeri mahu menambah dan membina beberapa sekolah rendah agama di Hulu Selangor.

Katanya, sebanyak RM500,000 diperuntuk bagi membuat kerja awal membina SRA Bukit Sentosa fasa satu yang membabitkan kos RM12 juta melalui Rancangan Malaysia Ke-12.

Selain itu Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut menyediakan dana RM300,000 bagi membaik pulih Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS) cawangan tengah di Kampung Jawa, Klang sebagai gerbang ilmu.

“Kemudahan ini dibangunkan bagi memudahkan peserta dari Lembah Klang mengikuti kursus anjuran ILDAS.

“Sebelum ini peserta mengambil masa lebih dua jam untuk mengikuti kursus di ILDAS di Sungai Air Tawar Sabak Bernam,” katanya.


Pengarang :