Infrasel membaiki dan menurap jalan menggunakan kaedah CIPR di Jalan Teluk Piah Kanan, Kuala Selangor pada 29 September 2022. Foto Twitter Infrasel
AGENDANASIONAL

Dana RM145 juta bina, naik taraf jalan negeri

SHAH ALAM, 25 NOV: Sejumlah RM145 juta diperuntuk untuk meningkatkan sistem jaringan jalan raya tahun depan bagi memberi keselesaan kepada pengguna yang semakin bertambah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM40.98 juta diagih kepada Jabatan Kerja Raya untuk melaksanakan pembinaan jalan baharu di beberapa lokasi.

Beliau menjelaskan kawasan terlibat seperti Kampung Sri Indah A ke Hospital Sungai Buloh, jalan sambungan Sungai Kelambu-Genting Sanyen dan Kampung Ulu Chuchuh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Jalan-jalan ini akan melalui kawasan baharu dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sekitar Gombak, Kuala Langat dan Sepang,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini.

Amirudin turut mengumumkan sejumlah RM65.3 juta untuk menaik taraf beberapa laluan utama termasuk di Jalan Bukit Rimau (RM12.5 juta) dan jalan simpang tiga Jalan Rahidin, Shah Alam (RM4.7 juta).

Projek baharu dan naik taraf lain seperti berikut:

  • Jalan Reko di Hulu Langat (RM1.7 juta)
  • Persimpangan Jalan Kampung Bukit Dugang, Sepang (RM1.7 juta)
  • Jalan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tiram Jaya, Kuala Selangor (RM3.2 juta)
  • Jalan Sungai Panjang dari simpang Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan ke Parit Empat Timur (RM2.3 juta)
  • Pembinaan jambatan dan jejantas, (RM11.8 juta)
  • Pemasangan lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (RM3 juta)
  • Kerja warta jalan negeri (RM1.5 juta)
  • Program warta laluan negeri (RM2 juta)
  • Membina dan menaik taraf bangunan termasuk istana Selangor (RM6.3 juta)
  • Pelbagai projek bangunan (RM1.5 juta)

Pengarang :