Ketua pengasuh taska, Nazatul Nadia Mustakim, 27 melakukan aktiviti bersama anak taska ketika Pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Dana RM4.6 juta laksana pendidikan awal kanak-kanak, manfaat 4,000 pusat asuhan

SHAH ALAM, 25 NOV: Sejumlah RM4.6 juta diperuntuk bagi pelaksanaan program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Selangor (IMPAK Selangor) tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif penjagaan awal kanak-kanak dijangka memanfaatkan hampir 4,000 pusat asuhan dan 40,000 keluarga seluruh negeri.

“Program IMPAK Selangor adalah sebahagian daripada sokongan Kerajaan Negeri kepada golongan wanita berkerjaya yang memerlukan bantuan daripada segi penjagaan anak-anak.

“Kerajaan Negeri melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) turut memahami isu berkaitan pusat penjagaan berdaftar terutama daripada segi keselamatan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini.

Beliau berkata inisiatif penjagaan awal kanak-kanak ditambah baik dengan mendaftarkan pengasuh dan penjaga tidak berdaftar terutama pengasuh kanak-kanak di rumah yang boleh diakses melalui sistem data pengasuh berpusat.

Katanya, ia turut menyediakan program latihan dan pemberian keperluan asas kepada pengasuh berdaftar.

“Harapan Kerajaan Negeri supaya lebih ramai pengasuh dan penjaga kanak-kanak berdaftar dan terlatih boleh dibentuk sekali gus mewujudkan ekosistem serta hala tuju industri jagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata seramai 30,000 anak Selangor yang lahir pada 2022 akan menerima RM100 untuk tempoh lima tahun menerusi Skim Iltizam Selangor.

“Menyedari kepentingan pengurusan kewangan yang mampan di peringkat isu rumah, Kerajaan Negeri memperkenalkan skim ini yang disertai dengan pembukaan akaun Sijil Simpanan Premium Nasional (SSPN) Prime,” katanya.


Pengarang :