Atlet petanque Selangor Ayzek Hakimi Safingan beraksi dalam acara Men Shooting dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Arena Petanque, Kuala Lumpur pada 17 September 2022. Foto Facebook MSN Selangor
AGENDANASIONAL

Dana RM7 juta bantu cungkil bakat baharu, lahir atlet bertaraf dunia

Oleh DIANA ABD WAHAB

KLANG, 29 NOV: Suntikan dana RM7 juta bagi program pembangunan sukan di Selangor dilihat mampu mencungkil bakat sukan baharu yang berpotensi menjadi jaguh dunia.

Pakar Bedah Pergigian, Dr Surendran Chandrasegaran, 31, berpendapat insentif disediakan itu akan membantu Kerajaan Negeri melahirkan atlet berprestasi tinggi sekali gus mengharumkan nama negara di kejohanan antarabangsa.

Dr Surendran Chandrasegaran

“Pembiayaan program latihan, elaun dan peralatan sukan sudah tentu akan beri nafas baharu buat arena sukan negeri. Dari sini kita dapat cungkil bakat sukan baharu yang boleh diketengahkan menerusi pelbagai penyertaan kejohanan sukan,” katanya.

Penganalisis Keselamatan Siber, Mohd Suhaili Ariffin, 35, berkata fokus Kerajaan Negeri itu berupaya membantu pembangunan sukan di setiap daerah.

“Inisiatif ini beri nafas baharu buat arena sukan negeri. Bila kita ada prasarana sukan yang moden dan maju, ia mampu pacu industri sukan sekali gus jadikan Selangor peneraju lahirkan lebih ramai atlet yang mampu bersaing sehingga ke peringkat dunia,” katanya.

Mohd Suhaili Ariffin

Penuntut Muhammad Nur Hisyam Rosman, 25, berkata usaha membaik pulih dan membina infrastruktur sukan mampu martabatkan pembangunan dan aktiviti kesukanan di negeri itu.

“Fasiliti sukan yang dinaik taraf dan moden secara tak langsung meningkatkan akses kepada kemudahan sukan dan menggalakkan generasi muda bergiat aktif dalam aktiviti sukan,” katanya.

Muhammad Nur Hisyam Rosman

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang belanjawan negeri 2023 berkata program pembangunan sukan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor diteruskan dengan peruntukan RM7 juta.

Projek membaik pulih dan membina infrastruktur sukan juga diteruskan membabitkan perbelanjaan RM2.24 juta bagi memartabatkan aspek pembangunan sukan serta aktiviti kesukanan.


Pengarang :