Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama sebahagian pimpinan utama HARAPAN selepas sidang media di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya pada 19 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) mengangkat tangan selepas sidang media di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya pada 20 November 2022. Turut sama Presiden Parti Ikatan Demokratik (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kiri), Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu (dua, kiri), Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook (tiga, kanan), Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua, kanan) dan Ketua Wanita KEADILAN Fadhlina Siddiq (kanan). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

DAP temu pimpinan Sarawak, buka lembaran baharu

SHAH ALAM, 24 NOV: Pemimpin DAP hari ini mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg di kediaman rasminya di Kuching untuk membuka lembaran baharu.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan memberitahu pertemuan itu juga bagi membina persefahaman dan kerjasama demi negara yang lebih maju dan progresif.

“Saya berharap pertemuan hari ini akan membuka satu lembaran baru untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif,” katanya di Facebook.

Beliau turut memohon maaf secara terbuka kepada premier jika terdapat sebarang kenyataan oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak.

Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi DAP Lim Guan Eng turut memohon maaf atas kenyataannya yang mungkin pernah menyinggung perasaan Abang Johari dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Saya memohon maaf sekiranya sebarang kenyataan saya telah menyinggung Premier Sarawak dan kerajaan GPS Sarawak. Masa depan negara mendahului segala-galanya,” katanya.

“Kita sama-sama mengorak permulaan baru untuk berganding bahu demi memelihara kemajmukan, keterangkuman serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan budaya dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan semua di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.”

Semalam, GPS akur cadangan pembentukan kerajaan perpaduan seperti yang dihasratkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menamatkan kemelut politik negara.

Awal pagi tadi, Umno turut memutuskan untuk menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan, namun bukan dipimpin oleh Perikatan Nasional (PN).

Pilihan raya umum ke-15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan persekutuan.

 

 


Pengarang :