Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi Pemadam Selangor merasmikan Pertandingan Mini Tamiya 4 Wheel Carnival di Dewan Komuniti AUD5 Taman Lembah, Gombak pada 6 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN /SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dekati peminat kereta kawalan jauh, MB bawa berita gembira

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 6 NOV: Seramai 70 peserta sukan kereta kawalan jauh Tamiya didekati Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak di Keramat di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga membawa berita baik buat mereka apabila menyatakan kesediaan untuk mengetengah sukan itu ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Kalau kita cakap tentang sukan, biasa orang sebut bola sepak, futsal tetapi kita juga ada sukan-sukan yang sangat spesifik serta bertaraf antarabangsa.

“Kerajaan Negeri cuba melihat semua jenis sukan dan Tamiya bukan sukan baharu malah mempunyai pengikutnya sendiri,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari mencuba permainan Tamiya di Dewan Komuniti AUD5 Taman Lembah, Gombak pada 6 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN /SELANGORKINI

Terdahulu, Amirudin yang juga pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor merasmikan Pertandingan Mini Tamiya 4 Wheel Carnival anjuran agensi itu di Dewan Komuniti AUD5 Taman Lembah, Keramat di sini.

Beliau berkata penglibatan Pemadam sebagai penganjur bertujuan membantu memberi kesedaran kepada peserta dan orang ramai mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

“Setelah lebih daripada sembilan tahun saya terlibat dengan kegiatan Pemadam, saya lihat kesan penyalahgunaan dadah amat buruk dan membawa kerosakan kepada negara.

“Sebab itu kita pelbagaikan program kita bukan hanya bagi ceramah tentang dadah, kita pernah anjur konsert kumpulan Dewa, Ari Lasso untuk sampaikan mesej kita,” tambah beliau.


Pengarang :