Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 23 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dewan Negeri Selangor lulus usul antilompat parti, pelihara mandat rakyat

SHAH ALAM, 24 NOV: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Tubuh Kerajaan Negeri (pindaan) 2022 berkaitan enakmen antilompat parti.

Speaker Ng Suee Lim berkata kelulusan enakmen berkenaan bagi memastikan wakil rakyat bersikap lebih setia kepada parti serta bertanggungjawab terhadap mandat rakyat.

Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim

“Rakyat memilih jadi mereka perlu perjuangkan demi rakyat. Dalam masa sama enakmen menjamin kestabilan politik.

“Usul dibawa semalam oleh Dato’ Menteri Besar dibahaskan lebih 15 orang wakil rakyat. Hari ini hampir semua mereka bersetuju dan enakmen diluluskan,” katanya ditemui selepas sidang DNS hari ini.

Terdahulu ketika menggulung usul berkenaan, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata enakmen terbabit dapat menjamin suara rakyat dan tidak diperkotak-katikkan oleh mana-mana wakil rakyat.

Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata RUU itu juga memberi kesan besar kepada kestabilan politik dan tidak hanya berkait pengkhianatan.

“(Kesan) Hingga proses pelantikan perdana menteri juga ambil masa lama. Bagi negara moden ini bukan perkara baharu tetapi akan melahirkan politik matang, terima kemenangan dan kekalahan.

“Marilah kita terlibat dalam sejarah negeri kerana undang-undang tubuh ini beri jaminan kepada kuasa rakyat dan menstabil serta memakmurkan negara,” katanya.

Semalam, Amirudin membawa usul berkenaan selari akta dikuatkuasakan di Parlimen bagi menguatkan lagi sistem demokrasi dan memastikan pentadbiran negeri stabil.

Bermula Oktober, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti dikuatkuasakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos.


Pengarang :