Ahmad (kanan) dan Muhammad (kiri) menunjukkan jari mereka yang dicelup dakwat selepas mengundi di Sekolah Rendah Agama Batu 13 Puchong, Subang Jaya pada 19 November 2022. Foto Facebook AHMAD & MUHAMMAD KEMBAR SIAM
AGENDANASIONALSELANGOR

Ditemani ibu, kembar OKU seronok buang undi kali pertama

SHAH ALAM, 19 NOV: Pasangan kembar Ahmad dan Muhammad Rosli teruja dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

Mereka yang berusia 24 tahun selesai membuang undi kira-kira jam 10 pagi di Sekolah Rendah Agama Batu 13 Puchong iaitu antara pusat pengundian bagi Parlimen Subang.

Pasangan kembar itu mengundi di laluan khas untuk orang kurang** upaya (OKU) ditemani ibu Junaidah Awang.

“Seronok dapat mengundi buat kali pertama dan ‘celup jari’ dengan dakwat, proses lancar…10 minit sahaja sudah selesai,” kata Muhammad ketika dihubungi.

Ahmad dan adiknya Muhammad adalah pasangan kembar yang dilahirkan bercantum di bahagian dada sehingga pangkal paha sebelum dipisahkan pada September 2002.

Mereka menjalani pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi yang ditaja Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

Muhammad yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer kini bekerja sebagai ketua projek teknologi maklumat di salah sebuah syarikat di Cyberjaya.

Pada 21 Januari, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menghulurkan sumbangan dua unit komputer riba, kad modul pengenalan pelanggan (SIM) dan data internet tanpa had kepada mereka.

Bantuan itu untuk kemudahan pasangan itu untuk meneruskan pengajian atau kerja rekaan untuk menampung kehidupan mereka.

** Nota editor: Kesilapan istilah telah diperbetulkan setelah mendapat maklum balas pembaca. Sidang pengarang memohon maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan.  


Pengarang :