Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan (kanan) beramah mesra bersama penduduk di sekitar Hulu Bernam pada 15 November 2022. Foto Facebook Dr Sathia Prakash Nadarajan
AGENDANASIONAL

Dr Sathia derma gaji ahli parlimen ke tabung Hulu Selangor

OLEH DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 15 NOV:  Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Hulu Selangor bercadang untuk menderma gaji ahli parlimen ke Tabung Harapan Hulu Selangor yang diwujudkan untuk pembangunan rakyat di situ.

Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata sebanyak 30 peratus daripada tabung diperuntuk kepada anak muda, 30 peratus untuk pembangunan dan meningkatkan kemahiran wanita manakala baki untuk isu kesihatan.

Beliau menjelaskan dana dari tabung itu dapat disalur pada kadar segera tanpa kerenah birokrasi bagi membantu anak muda dan urusan kebajikan penduduk.

“Jika anak muda perlukan dana untuk sertai pertandingan sukan di luar negara atau perlukan alatan sukan, kita terus bantu. Kita tidak mahu kerenah birokasi bantutkan minat anak muda yang berpotensi harumkan nama negara.

“Begitu juga jika ada pesakit perlukan kerusi roda segera, kita terus salur bantuan sebaik terima maklumat. Kalau tunggu hendak hantar borang maklum perlukan kerusi roda, tidak tahu berapa lama pesakit baru dapat bantuan.

“Perkara ini (kecemasan) tidak boleh tunggu, duit gaji ini cara saya untuk bantu rakyat baiki kehidupan,” katanya ketika mengumumkan manifesto HARAPAN Hulu Selangor di sini hari ini.

Dr Sathia turut mengumumkan pihaknya pada setiap enam bulan sekali akan menyenaraikan nama penerima dan bentuk bantuan  yang disalur bagi memastikan ketelusan tabung berkenaan.


Pengarang :