Mesyuarat khas urusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah diadakan di Putrajaya pada 20 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua jalan di Ampang tutup esok, beri laluan penamaan calon

SHAH ALAM, 4 NOV: Dua jalan raya di Ampang ditutup sementara waktu bagi memberi laluan kepada proses penamaan calon esok sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Polis Daerah Ampang Jaya memaklumkan penutupan bermula jam 6 pagi melibatkan Jalan Pandan Ilmu (depan Dewan MPAJ Pandan Indah) dan Jalan Ampang (depan Dewan Dato Ahmad Razali).

“Tujuan penutupan sementara kedua-dua jalan ini adalah untuk kawalan keselamatan di lokasi pusat penamaan calon untuk PRU15 supaya berjalan lancar.

“Bagi yang menggunakan jalan tersebut dinasihatkan menggunakan jalan alternatif sementara sehingga dibuka semula hingga selesai penamaan calon,” katanya menerusi Facebook.

Pihak berkuasa itu turut mengingatkan pengguna laluan Jalan Pandan Ilmu dan Jalan Ampang bersabar dan memberi kerjasama kepada petugas yang mengawal lalu lintas.

“Ia adalah untuk menjamin keselamatan orang awam yang lain sepanjang penamaan calon berlangsung. Rancang perjalanan anda bagi mengelakan sebarang kesulitan berlaku,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November sebagai hari pengundian sementara penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal 15 November.


Pengarang :