Antara rumah yang terjejas disebabkan banjir di Kampung Seri Tanjung, Dengkil pada 17 November 2022. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara
AGENDANASIONAL

Dua kampung terjejas banjir di Dengkil, 80 rumah terlibat

SHAH ALAM, 17 NOV: Sebanyak 80 rumah membabitkan dua kampung di Dengkil terjejas akibat banjir disebabkan hujan lebat serta limpahan air dari ban tanah yang pecah pagi tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Facebook memaklumkan kawasan yang terjejas itu ialah Kampung Seri Tanjung membabitkan 50 rumah dan Kampung Chemperai, 30 rumah.

“Limpahan air dari ban tanah yang pecah di Kampung Seri Tanjung menyebabkan kawasan itu dinaiki air dan pada jam 8 pagi paras air Sungai Langat merekodkan 8.2 meter dan berada pada paras bahaya,” katanya.

Ban tanah yang pecah menyebabkan banjir berlaku di Kampung Seri Tanjung, Dengkil pada 17 November 2022. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara

Menurut kenyataan itu lagi banjir di Kampung Chemperai berpunca daripada hujan lebat di kawasan hulu lembangan Sungai Langat dan aras sungai Parit Tampoi yang tinggi.

Katanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah mengambil tindakan perlu serta ban yang pecah dalam proses pembaikan.


Pengarang :