Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pelan susun atur projek mendalamkan sungai ketika majlis perasmian Projek Mendalam dan Melebarkan Tebatan Banjir Sungai Klang di Kota Kemuning, Shah Alam pada 1 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA SELANGOR

Elak banjir besar, negeri mula projek dalamkan Sungai Klang

SHAH ALAM, 1 NOV: Projek mendalam dan melebarkan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer bermula semalam secara berperingkat bagi mengatasi kejadian banjir.

Dato’ Menteri Besar berkata projek melibatkan kos berjumlah RM700 juta itu merangkumi empat blok utama yang dijangka siap lima tahun lagi.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari fasa pertama sejauh 10 kilometer membabitkan kerja mengorek sungai sedalam tiga meter di kawasan berhampiran perumahan Sri Muda dekat sini.

“Secara keseluruhan projek ini bakal memberi manfaat kepada 500,000 penduduk sekitar terutama kawasan titik panas banjir antaranya Sri Muda, Bukit Lanchong, Kampung Tengah dan Kampung Baru Hicom.

“Sehingga hujung tahun, projek diurus Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Landasan Lumayan dijangka siap antara 20 ke 30 peratus,” katanya pada sidang media selepas melancarkan projek berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari melihat tapak projek dan sungai selepas merasmikan Projek Mendalam dan Melebarkan Tebatan Banjir Sungai Klang di Kota Kemuning, Shah Alam pada 1 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata proses mendalamkan sungai dari Midvalley, Kuala Lumpur hingga Pelabuhan Klang itu bakal meningkatkan tampungan kapasiti air sekali gus mengurangkan risiko banjir seperti kejadian bah hujung tahun lalu.

“Fokus kita jelas untuk selesaikan dan tangani isu banjir. Kita nak elak insiden yang berlaku hujung tahun lalu berulang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata projek terbabit membawa pembangunan ekonomi di pesisir Sungai Klang.

“Kita bakal bangunkan kawasan ini termasuk menempatkan Lembaga Urus Air Selangor supaya agensi mudah membuat pantauan sumber air,” katanya.

Ketika membentangkan Belajawan Selangor 2022 tahun lalu, Amirudin berkata tanah seluas 600 ekar dikenal pasti untuk pembangunan dalam tempoh lapan hingga 10 tahun ini.

Ia turut merangkumi perancangan pembinaan 3,400 unit kediaman sebagai projek rintis ekonomi berimpak tinggi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) cecah RM1 bilion.


Pengarang :