Sebahagian guru kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di Selangor. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Elaun guru Kafa dinaikkan kepada RM1,500 sebulan mulai Januari 2023

SHAH ALAM, 25 NOV: Elaun bulanan 2,825 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di negeri ini diseragam dan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan mulai Januari tahun depan, umum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peningkatan RM150 melibatkan dana RM4.8 juta bagi menghargai peranan mereka yang membentuk pelajar ke arah kehidupan seimbang dunia dan akhirat.

“Inisiatif kepada warga pendidik ini disifatkan sebagai pelaburan yang berbaloi kepada Pendidikan Islam Selangor kerana melahirkan generasi masa depan yang berilmu dan beragama,” katanya.

Bercakap dalam pembentangan Belanjawan 2023, beliau menambah 32 penyelia Kafa seluruh negeri bakal menerima insentif khas RM100 sebulan dengan implikasi kewangan RM38,400 setahun.

“Dengan itu, sedikit sebanyak dapat meningkatkan semangat dan motivasi mereka untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dalam pengurusan Kafa Selangor khususnya,” jelas Amirudin.


Pengarang :