EXCOSELANGOR

EXCO: Fungsi program kesihatan mental ditambah baik, segera kemas kini di SELangkah

SHAH ALAM, 3 NOV: Orang ramai disaran memuat turun atau mengemas kini fungsi program Selangor Mental Sihat (Sehat) 2.0 dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata fungsi terbaharu itu membabitkan ciri paparan pengguna selain penambahan ujian saringan kesihatan mental, 60 video psikopendidikan dan empat modul Sehat.

“Muat turun atau kemas kini aplikasi SELangkah di telefon pintar anda dengan segera,” tulisnya di Facebook hari ini.

Orang ramai yang memerlukan khidmat nasihat juga boleh menghubungi kaunselor Sehat menerusi talian 1700-82-7536 dan 1700-82-7537 atau layari www.drsitimariah.com/sehat

Bermula September tahun lalu, program Sehat boleh diakses menerusi butang khas di skrin utama dalam aplikasi SELangkah.

Antara fungsi yang boleh diteroka pengguna ialah saringan kesihatan mental, saringan risiko, video psikopendidikan, portal WhatsDoc dan skala literasi kesihatan mental.

Pada 30 Ogos, Kerajaan Negeri melancarkan fungsi Sehat dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

Fungsi di SELangkah itu dibangunkan hasil kerjasama Selangkah Ventures Sdn Bhd dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Uiam) dan WhatsDoc Sdn Bhd.

 


Pengarang :